Pages

May 28, 2018

7 Ramadhan | 23 Mei

Ingin ku sisipkan kisah 7 Ramadhan bersamaan 23 Mei 2018; Rabu. Pada 7.05 malam, seorang rakan sekerja merangkap kawan baik di tempat kerja telah kembali pada Maha Pencipta. Meninggalkan suami dan sepasang zuriat yang amat dicintai.

Genap sebulan dia masuk wad. Ku yakin tak ada siapa yang menyangka dia akan pergi buat selamanya. Asbab dia masuk wad cuma lebam pada muka berpunca dari terjatuh dan terhempap bucu tilam. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui. Allah telah aturkan perjalanan dan pengakhirannya begitu. Bila aku kenangkan semula, mudahnya segala urusan mu kawan.

Hari ketiga dia masuk wad, aku pergi ziarah. Kali pertama tengok dia dari kejauhan, bergetar dalam hati. Sungguh tak ku kenali wajah itu. Bila dia bercakap, kurang jelas. Ulser penuh dalam mulut dan lidah. Butir bicaranya tak begitu jelas. Tapi, sikit sebanyak ku turut rasa sakitnya dalam hati. Pedih. Sedih. Menangis dalam hati. 

"Ada lah saya buat salah kot".

"Doakan saya sihat semula ye".

Susah payah dia nak bercakap. Sedihnya aku sampai tak upaya nak bercakap. Aku takut bila aku bercakap, aku terus nangis. Hati tisu kan. Taip ini pun aku dah nak nangis. Masa kami datang, dia tengah makan buah. Dia makan pisang. Pisang yang putih tu bertukar jadi warna merah hitam. Allahu. Tak sanggup rasanya tengok dia masa tu.

Lepas dari hari tu aku tak ziarah dia. Lega rasanya bila dengar update dari kawan²  Unit IT dan yang lain pergi ziarah. Terkini minggu lepas, kawan cakap dia happy. Ceria. Tak sabar nak keluar. Dah boleh gerak sana sini. Aku sejujurnya sangat lega bila dengar perkhabaran tu. Dan gembira tentunya. Kawan dah sihat.

Tiba-tiba hari Selasa kami dapat perkhabaran dia masuk ICU. Solat hajat beramai-ramai dibuat tengahari selepas Zohor. Rabu, staff aku pergi ziarah. Balik dari ziarah katanya dapat update, doktor kata Mas tak ada harapan. Allah Ya Allah. 

Aku dan staff aku keluar dari pejabat jam 3 petang atas kebenaran Timb Ketua Pengarah yang ada pada ketika itu. Hujan lebat sepanjang perjalanan kami ke Hospital Kajang. Kami menunggu lebih kurang 40 minit untuk masuk bilik ICU. Mak nya pun belum masuk lagi. Baru sampai dari Kemaman. 

Masa aku masuk bilik ICU, aku macam tak percaya tu kawan aku. Kawan aku yang tengah baring tak sedar diri. Kawan aku ni yang doktor kata otaknya dah mati. Kawan aku ni yang tengah bergantung dengan mesin. Ya, ini kawan aku. Kawan aku. Aku tak mampu nak bisikkan apa². Dan aku tak reti.

Jam 8 malam, aku baru lepas berbuka. Buka whatsapp Unit aku. Staff aku kata; 'Mas dah tak ada".

Aku diam. Aku blur. Cuma aku cakap kat Lee, "kawan saya dah takde". Lee tanya beberapa soalan tapi aku memang tak ada jawapan dan tak mampu fikir apa pun. Aku masuk bilik dan nangis macam tak nak berhenti. Dengan sedu sedan aku. 

Aku terbayang segala kenangan antara kami. Dan aku terkenang wajah anak-anak yang petang tadi aku dukung dan cium. Si abang berusia 3 tahun dan adik perempuan baru sahaja 6 bulan. Ye, Mas baru sahaja balik dari cuti bersalin.

Maslida, antara kawan yang paling awal ku kenali ketika mula bekerja. Kami pekerja ambilan yang sama pada tahun 2012. Kursus induksi bersama-sama dan kami bekerja di satu tingkat yang sama. Bezanya dia Unit IT dan aku Unit Statistik. Dan kerja juga menghubungkan kami yang mana kami berhubung 'rapat' sebab melibatkan sistem. 

Dia mesra dengan sesiapa sahaja. Dia peramah. Dia murah dengan senyuman. Dia disenangi oleh ramai orang. Itu peribadi dia.

Dari segi kerja, dia seorang yang sangat komited dengan tugasnya. Dia sentiasa buat yang sehabis baik. Dia berusaha buat yang terbaik walau banyak juga cabarannya.

Kami banyak juga berkongsi cerita. Tentang kehidupan. Tentang keluarga. Tentang anak-anak. Masih lagi ingat masa masa mengandungkan Aflah, dia sedang mengandungkan Naufal. Kebetulan juga kami termengidam Kit Kat Rubies. Nasib baik dia bagitau aku, esoknya awal pagi aku dah bagi Kit Kat tu kat dia. Yelah, mengidam bukan nak banyak pun makan. Banyak lagi kat rumah. Hihi.

Sedikit ralat, lepas dia balik dari cuti bersalin aku tak banyak sembang dengan dia. Sebenarnya memang tak nak pergi kat dia dan ganggu dia sebab dia memang busy nak settle kan banyak benda lepas cuti bersalin.

"dayang, nanti bila Nuha dah besar sikit kite nak cuba brownies awak. sekarang ni kite kawal² makan sebab baby kecik lagi kan".

Ermm. Sedih rasanya bila teringat tentang dia. Dan rasa macam tak percaya dia dah tak ada. Buat selamanya. Apatah lagi dalam keadaan yang tiba² begitu. Masih lagi tak diketahui akan punca semua ni. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Selamat berehat wahai sahabat. Awak disayangi oleh ramai orang di dunia ni, tapi kasih sayang Allah lebih lagi untuk awak. Awak orang yang baik. Awak sahabat yang baik. Awak pekerja yang baik. Itulah ayat² yang saya baca dan dengar dari sekeliling. Dan saya akui itu.

Saya akan menyusul jua nanti. Entah bila dan bagaimana, Allah Maha Mengetahui. Semoga kita berjumpa di syurga nanti ya.

SESUNGGUHNYA KAMI MILIK ALLAH DAN KEPADANYA KAMI AKAN KEMBALI.

Salam Sayang,
DYatie ABakar.

No comments

Blog design by Rainy Day