Pages

Aug 16, 2012

Book Review: Bersyukur Saat Diuji [1]

Assalammualaikum. Hai.

Rasanya sudah agak lama tidak fokus membaca. Seakan tempoh masa yang Allah pinjamkan selama 24 jam itu tidak mencukupi. Realiti, ternyata saya tidak bijak menguruskan masa. Siang hari, mencari rezeki. Malam, melayan anak dan tertidur. Alasan yang kerap kali diutarakan – letih. Manusia mudah memberikan alasan, kan?

Perhubungan Jarak Jauh (PJJ) antara saya dan suami serta anak akhirnya memberikan ruang waktu untuk saya membaca semula. Membaca merupakan salah satu cara untuk saya tidak terlalu memikirkan PJJ ini. Kalau terlalu mengikutkan rasa hati, pasti mata saya tidak akan pernah surut dari bengkak. Benarlah kata pepatah, “ikut hati mati, ikut rasa binasa”.

Mata Hati tertarik dengan sebuah buku “BERSYUKUR SAAT DIUJI”, tulisan Dr. Muhd Kamil Ibrahim (MKI). Tidak saya nafikan, ‘tarikan’ itu adalah kerana saya rasa saya sedang diuji. Diuji dengan PJJ ketika kami suami isteri telah membuat pelbagai perancangan untuk berpindah ke rumah sendiri serta membesarkan anak. Benar, “kita cuma merancang, Allah yang menetukan”.

Saya sangat tertarik dengan gaya penulisan MKI. MKI dengan bersahaja berkongsi pengalaman hidup; suka dan duka – paling penting ialah bagaimana MKI berdepan dengan ujian Allah SWT. Setiap satu cerita yang MKI kongsikan membuatkan hati saya tersentuh – sedar akan kekhilafan sendiri. MKI juga tidak menyembunyikan 'fitrah’ manusia, namun segera MKI atasi.

Mari saya kongsikan sedikit kisah yang sangat menarik perhatian saya;

Setelah diuji dengan banjir besar, seorang rakan MKI telah menghantar sepasang sandal BATA yang masih lagi ada tanda harga. RM69.90. Jauh beza dengan harga kasut Clarks MKI yang telah musnah dalam banjir. MKI juga dihadiahkan 4 pasang baju kemeja dari rakan sejawat yang juga berbeza dengan jumlah pakaiannya sebelum ini. Dan sandal itu yang menjadi peneman setia kemana-mana dan baju itu juga yang disarung pada badan MKI.

Dan kerana itu, MKI berfikir. Sandal berharga RM69.90. Selesa dan tidak memudaratkan. Maka, apa bezanya dengan sepasang kasut berharga RM699? MKI juga memaklumkan isterinya bahawa 4 pasang baju yang dihadiahkan oleh teman-teman itu sudah memadai. Bezanya, isteri MKI perlu membasuh baju-baju tersebut setiap dua hari. Maka, apakah nilai 40 pasang baju yang sebelum ini tergantung dalam almari pakaian?

”Masya-Allah, Subhanallah, Allahu Akbar, Astaghfirullah. Selama ini saya hidup di atas dasar pembaziran melampau. Lalu Allah ambil kesemuanya,….”

Sumber: Bersyukur Saat Diuji

Kisah ini saya kaitkan dengan diri saya. Masya-Allah, Subhanallah, Allahu Akbar, Astaghfirullah. Mungkinkah saya membazir selama ini? Saya kira baju kurung dalam almari pakaian. Tidak lebih dari 15 pasang. Sebelum ini, saya segan bila merasakan saya cuma memakai baju yang sama hinggakan ada yang boleh menghafal baju-baju saya. Sandal saya, harganya tidak mencecah RM200 tapi sandal itu yang saya bawa ke hulu ke hilir hingga mencecah hampir 3 tahun.

Saya tidak begitu yakin tapi Alhamdulillah dan InsyaAllah saya tidak berlebih-lebih. Mungkin tidak dari segi kebendaan. Saya rasa saya tidak perlu lagi berfikir untuk malu dengan pakaian yang sama saban hari. Begitu juga dengan sandal, selagi masih selesa. Tapi sebenarnya, di sebalik semua ini saya ada satu sikap ‘kedekut terhadap diri sendiri’. Mungkin atas sebab itu juga maka saya cuma memiliki beberapa helai pakaian dan sepasang sandal.

Berbalik kepada MKI, bertapa MKI merupakan seorang yang disegani dan berilmu telah menyedari akan ‘pembaziran’ ini – maka kita? Benar, “baik dijadikan teladan, jahat dijadikan pedoman”. Mari kita sama-sama bermuhasabah diri. Pandang setiap sisi kiri dan kanan serta atas dan bawah. 

Cukup setakat ini, saya akan berkongsi kisah MKI dalam Bersyukur Saat Diuji lagi pada entri akan datang. InsyaAllah. Saya sangat galakkan teman-teman sekalian membeli buku MKI. 

satunotahati: sekadar berkongsi apa yang telah dibaca, bermuhasabah dan mengingati diri sendiri. semoga semua mendapat manfaat.

No comments

Blog design by Rainy Day