Pages

Apr 1, 2012

Tanngungjawab - Mampukah saya?

Assalammualaikum. Hai.

Saya akan masuk bekerja semula esok hari. Lebih tiga bulan bercuti sudah tentu akan membuatkan sesiapa sahaja menjadi 'lemau' untuk mula bekerja kembali. Itulah yang saya rasai sekarang, dan hati meronta-ronta mahu menjadi surirumah sepenuh masa. Hati begitu kuat mahu melihat anak membesar di depan mata tanpa sedetik pun terlepas dari melihat perkembangannya. Walau sekuat mana hati yang meronta-ronta itu, saya perlu juga kuatkan hati untuk terus bekerja. Sesungguhnya, ada tanggungjawab yang perlu saya galas InsyaAllah hingga ke akhir hayat.

Tidak semua yang kita inginkan akan menjadi milik kita. Tidak semua yang kita impikan juga menjadi realiti. Setiap suatu perkara yang kita mahukan memerlukan banyak pertimbangan dari sisi positif dan negatif, kesan dan akibat. Adakalanya kita perlu membuat pengorbanan yang besar. Adakalanya kita perlu mengenepikan impian tersebut. Adakalanya juga kita terus melangkah tanpa menoleh kembali untuk keinginan itu. Walau apa jua keputusan yang kita ambil, sewajarnya kita menilai kewajarannya terlebih dahulu. Jangan pernah sesekali berhenti dari bersangka baik denganNya.

Saya masih belum bergelar ibu berkerjaya (walaupun tidak begitu berkerjaya - sekadar berkerja) hingga ke hari ini. Saya sudah melalui detik-detik manis sebagai surirumah sepenuh masa walau seketika cuma (dua belas hari). Dalam tempoh yang singkat ini, bukan mudah juga untuk menjadi surirumah sepenuh masa. Saya perlu mengambil kesempatan yang ada dengan sebaiknya untuk menyelesaikan kerja rumah sementara anak sedang tidur. Sikap berlama-lama di dalam bilik mandi juga secara automatiknya lenyap tanpa kita duga. Bertapa saya menghargai setiap detik saat yang ada di rumah supaya segera dapat bermanja dengan anak.

Persoalan dalam diri saya sebagai seorang isteri dan mak pada saat ini ialah:

  • mampukah saya untuk menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah serta ikhlas? 
  • mampukah saya untuk tidak sekali pun merungut?
  • mampukah saya untuk tidak sesekali mengabaikan anak dan suami?
Adalah menjadi tanggungjawab saya dan suami untuk menyediakan masa yang berkualiti buat kami sekeluarga. Lebih kurang sepuluh jam tidak bersua-muka, dan cuma ada lebih kurang tiga atau empat jam untuk kami bersama pada malam hari. Wajib bagi kami untuk mengisi masa tersebut dengan hal-hal yang menyenangkan supaya kemanisan dalam rumahtangga tidak akan berkurang serta anak tidak rasa dirinya terbiar. Kami masih baru, tapi wajarlah kami menerapkan nilai-nilai ini bermula dari sekarang.


Seorang isteri sudah tentu mengharapkan sokongan, dorongan dan bantuan dari suami terutamanya bagi isteri yang berkerja. Ketiadaan toleransi dan kerjasama pasti akan mencetuskan konflik dalam keluarga. Konflik yang akan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap satu sama lain. Tanpa bantuan dari suami, isteri akan merasakan seluruh tanggungjawab di rumah telah tergalas pada bahunya. Isteri itu bukan pembantu rumah yang boleh kita arah sesuka hati. Isteri merupakan amanah dari Allah kepada suami untuk dibimbing, dijaga dan dicintai. 

Tidak saya harapkan 'lebih' dari suami. Tidak. Cukuplah sekadar dapat meringankan sedikit kerja di rumah selain tenang serta lapang hati melihat wajah suami dan anak di sisi. Bukan mudah untuk menjadi isteri solehah dan ibu mithali. Suami juga perlu memainkan peranan yang sebaiknya. Orang kata, setiap kejayaan lelaki pasti ada seorang wanita di belakangnya. Begitulah juga sebaliknya wanita / isteri. Saling memberi dan menerima sesama suami isteri.

Saya sekadar bermuhasabah diri. Saya cuma mengingatkan diri sendiri. Penerapan yang perlu dalam diri sebelum memulakan tanggungjawab sebagai isteri, mak, anak sulung dan pekerja. Tanggungjawab ini sangat besar bagi saya untuk digalas hinggakan saya mengkhuatiri kemampuan sendiri. Semoga saya terus kuat, tabah, sabar dan ikhlas dalam memikul tanggungjawab ini. Semoga juga Allah mempermudahkan segala urusan saya dunia dan akhirat. Amin.

satunotahati: Alhamdulillah, Allah kurniakan saya seorang suami yang ringan tulang. Sejak awal perkahwinan, encik suami turut membantu membuat kerja rumah. Semoga terus begitu hingga ke akhirnya. Terima kasih sayang. Nur Arissa Batriesya pasti bangga dengan ayahnya. :)

2 comments

Mimy Hamid said...

best nya cuti 3 bulan..sy 2 bulan jek...sama la sepatut masuk esok tapi tunda rabu sebab selasa Fayel nak jab 2 bulan

D Yatie said...

@Mimy Hamidsaya 1 bulan tu unpaid. huhuhu. sebab itu dapat 3 bulan.

Blog design by Rainy Day