Pages

Feb 24, 2012

Nur Arissa Batriesya [1]




Assalammualaikum Nur Arissa Batriesya.

Hari ini genap 30 hari usia puteri hati mak dan ayah.
Syukur Alhamdulillah.

SELAMAT HARI LAHIR SAYANG.

Seakan semalam mak membuat UPT. Seakan semalam mak merasakan tendangan dalam perut. Seakan semalam mak merasakan kontraksi. Seakan semalam mak dimasukkan ke dalam wad bersalin. Seakan semalam dikelilingi jururawat mengarahkan mak meneran. Seakan semalam mak menatap wajah anak mak buat kali pertama.

SUBHANALLAH
CANTIKNYA CIPTAAN ALLAH

Satu bulan yang lalu, mak akan pastikan mak rasa tendangan atau pergerakan Arissa apabila bangun pagi. Kini, mak akan peluk dan cium Arissa setiap kali bangun pagi. Mak cakap berkali-kali pada Arissa, Subhanallah - Cantiknya ciptaan Allah. Sungguh indah perasaan itu Arissa. Mak bersyukur dan berterima-kasih kepada Allah kerana mengurniakan mak seorang puteri yang diberi nama Nur Arissa Batriesya. Mak bertambah bahagia dengan adanya Arissa disisi. Alhamdulillah.

Nur Arissa Batriesya. Nama yang mak dan ayah pilih untuk puteri hati. Sejak dari awal lagi mak dah berkenan dengan nama Arissa. Arissa yang bermaksud keazaman / kekuatan. Kemudian ayah memilih Batriesya yang bermaksud cerdik / pandai. Nur pilihan mak dan ayah untuk Cahaya-mata mak dan ayah. Doa mak dan ayah, semoga peribadi dan akhlak Arissa seindah nama Nur Arissa Batriesya. Nanti dah masuk sekolah, Arissa bagitahu cikgu mak ayah minta maaf sebab nama Arissa panjang ye. (^_^)


Sepanjang 40 minggu kehamilan, mak bersyukur sebab mak melalui tempoh itu dengan mudah bersama Arissa. Alhamdulillah. Mak bersyukur kerana dipermudahkan olehNya urusan mak melahirkan Arissa. Alhamdulillah. Mak bersyukur Allah memberikan kesempatan buat mak untuk bersama Arissa untuk satu tempoh lagi. Alhamdulillah. Mak bersyukur kerana Allah menganugerahkan Arissa sebagai penyeri kehidupan mak dan ayah. Alhamdulillah.

Sekarang, kitaran kehidupan malam mak berubah 100%. Sebelum ini, letak sahaja kepala atas bantal mak akan tidur sampai pagi tanpa sedar. Tapi sekarang Arissa akan kejutkan mak setiap dua jam untuk susu. Mak pula pantang dengar sedikit bunyi dari Arissa, terus terbangun dari tidur. Bangun tidur, mak akan peluk dan cium Arissa. Mak akan pastikan urusan bersama Arissa diutamakan terlebih dahulu. Urusan mak, kemudian. Arissa keutamaan mak sekarang.

Untuk tempoh lebih sebulan ini, mak cuma menguruskan Arissa selain diri mak sendiri. Mulai 19 Mac, mak akan menguruskan rumah, ayah dan juga Arissa. 1 April pula mak akan mula bekerja. Masa mak bersama Arissa tidak akan seperti sekarang. 24 jam disisi Arissa. Nanti lebih kurang 10 jam Arissa akan bersama dengan pengasuh. InsyaAllah. Mak dan ayah akan pastikan masa yang terluang bersama Arissa akan mak isi dengan segala hal yang baik.


Arissa, rasanya tak sabar untuk menunggu Arissa membesar. Tak sabar rasanya mak nak lihat Arissa ketawa bila diagah. Tak sabar rasanya mak nak tengok Arissa menoleh apabila dipanggil. Sekarang Arissa ketawa tanpa bunyi bila Arissa rasa nak ketawa. Arissa senyum bila Arissa rasa nak senyum. Sekarang juga Arissa menoleh bersahaja apabila dipanggil. Tak sabar mak nak tunggu Arissa sudah mula mengerti. Subhanallah. Tidak ada perkataan yang sesuai untuk mak gambarkan perasaan mak Arissa.

Nur Arissa Batriesya, mak dan ayah memilih panggilan ‘mak’ ‘ayah’ untuk Arissa. Tipikal kan? Tapi, setiap apa yang mak dan ayah pilih semuanya bersebab. Ikutkan hati mak, mak nak Arissa panggil ayah ‘bapak’ sebab mak panggil Nek Aki ‘bapak’. Hehe. Tapi, ayah seperti mak juga nak kekalkan panggilan ‘ayah’ sepertimana ayah panggil Tok ‘ayah’. Mak pula sudah semestinya sebab mak panggil Nek Wan dan Tok Wan ‘mak’. Kelakar bukan? Hehe. Walau apa pun panggilan yang diberikan, maksudnya tetap sama.

Cukup untuk kali ini Nur Arissa Batriesya.
Semoga mak istiqamah dalam menulis untuk Arissa.
Amin.

No comments

Blog design by Rainy Day