Pages

Jan 23, 2012

Eksklusif : Rasa Hati.

Hai.

*scroll ke bawah untuk entri baru*

23 Januari 2012: Terkadang, kita merasakan begitu pantas masa berlalu hinggakan apabila tiba pada satu hari kita sedar ada banyak hal yang masih tidak sempat untuk kita perkatakan, bincangkan, luahkan dan lakukan. Dan hati juga tertanya-tanya, masih adakah kesempatan buat kita pada masa akan datang untuk merealisasikan hal-hal yang telah ditinggalkan. Lebih menyesakkan dada apabila kita terfikir akan adakah masih punya waktu untuk kita menebus setiap kesilapan atau dosa yang telah kita lakukan serta punya kesempatan untuk memohon keampunan dari Allah SWT serta setiap insan di sekeliling kita. Khilaf, silap dan salah yang kita lakukan biarpun adakalanya tidak disengajakan atau diluar kawalan namun pastinya semua itu memberi kesan.

Meniti hari-hari akhir kehamilan sedikit sebanyak menimbulkan rasa gelisah, resah dan debaran dalam diri saya. Saya kurang pasti akan perasaan atau pengalaman para isteri / ibu yang lain. Mungkinkah saya terlalu lemah hingga membuatkan saya berperasaan sedemikian?

"Ingat bersalin ni bukan sebab nak kuar kn anak tapi sebab ibadah kerana Allah ingat kat Dia ikhlas n redha time bersalin bukan ingat kat saya."

Pesanan ringkas dari encik suami apabila saya menyuarakan rasa resah gelisah dalam menghitung hari. Saya tahu, biar sekerap mana saya mengadu pada beliau akan keresahan, kegundahan, ketakutan saya untuk berdepan dengan 'hari itu', encik suami hanya mampu menasihati sebanyak mana yang boleh. Encik suami cuma mampu mendoakan dan memberikan sokongan penuh dengan memberikan pandangan yang positif serta pesanan yang sentiasa mengingatkan saya tentang kekuasaan Allah SWT. Alhamdulillah. 'Terima kasih sayang'.

Sesungguhnya, tidak ada seorang ibu yang tidak mahu menjaga anaknya sejak dari hari lahir sehingga ke akhir hayatnya. Saya tahu, siapalah saya untuk dipilih sebagai salah seorang hamba yang syahid. Namun sebagai manusia biasa yang percaya akan Qada' dan Qadar Allah SWT, saya turut menyiapkan diri dengan sebarang kemungkinan. Allah Maha Mengetahui. Allah Maha Berkuasa. Kita cuma merancang, Allah jualah sebaik-baik perancang. Jauh nun dari hati yang paling dalam, saya turut berharap saya seorang hamba yang terpilih. Dan pada masa yang sama saya juga berharap saya berkesempatan untuk membesarkan anak saya bersama suami tercinta.

Esok merupakan tarikh jangkaan untuk saya bersalin. Disebalik rasa resah terselit rasa teruja dan tidak sabar untuk bertemu dengan si kecil. Semalam tatkala bersendirian, saya melihat gerakan si kecil yang begitu aktif. Saya senyum dan bertanya, 'agaknya bila baby nak keluar ye? baby tunggu ayah ye.' Dan kemudian hati terdetik, 'i will miss this moment.' Percaya atau tidak, saya tidak 'berperasaan' yang esok saya akan bersalin. Mungkinkah saya yang terlalu 'buta' untuk mengenal pasti tanda-tanda awal mahu bersalin atau mungkin juga sememangnya belum tiba masanya. Saya turut tertanya-tanya, 'adakah si kecil tetap mahu menjadi si kecil naga yang bertuah mengikut perkiraan kawan-kawan sepejabat yang berbangsa cina?' atau 'mungkinkah si kecil menunggu ayahnya ada bersama di sini?' Wallahhualam. Kami suami isteri serahkan pada Allah SWT.

Entri ini sudah sekian lama berada dalam draf. Sejak awal pagi tadi, saya berhempas-pulas memerah idea yang terkurung dalam minda. Ikutkan rasa hati, tak cukup satu entri untuk luahan perasaan. Namun, tidak semua kita boleh luahkan secara terbuka. Orang kata; ikut rasa binasa, ikut hati mati - rasa hati. Sedangkan pembikinan filem perlu ditapis oleh FINAS, apatah lagi rasa hati kita. Mungkin kita akan terlebih. Dan mungkin juga kita akan tersilap. Jadi, kesannya pasti pada diri kita sendiri. Saya kurang pasti, adakah rasa hati saya ini sesuatu yang normal. Saya musykil, adakah saya yang terlalu banyak berfikir? Saya bermonolog, adakah saya seorang yang berfikiran negatif? Sejujurnya dan seikhlas hati, saya suka berfikir secara positif tetapi tidak akan memandang sepi atau tidak peduli akan perkara negatif sebagai persiapan diri.

Hampir pukul 12. Masih belum ada tanda-tanda yang jelas dan nyata. Terharu dengan pesanan ringkas encik suami yang menyatakan kerisauannya terhadap diri saya. 'Terima kasih sayang. Kite tak sabar nak jumpa awak Jumaat nanti.' Encik suami saya pasti akan berada disisi saya dan si kecil pada hari Jumaat ini, InsyaAllah. Dengan izin Allah juga, si kecil akan tunggu sehingga encik suami ada disini. Harapan itu ada, tapi bukanlah menjadi satu kemestian. Allah Maha Mengetahui. Seperti kebiasaan, doa seorang mak dan ayah ialah keselamatan anaknya. Anak - anugerah dan amanah Allah untuk pasangan suami isteri.

Akhir rasa hati: saya memohon ampun dan maaf dari hujung rambut ke hujung kaki kepada semua yang mengenali saya. Atas segala salah, silap dan khilaf saya. Saya juga memohon dihalalkan segala-galanya, apa yang terlebih dan terkurang dari saya. Saya hamba Allah yang tidak sempurna. Pasti ada yang pernah terasa, terluka, terusik dan terkesima disebabkan oleh perkataan dan perbuatan saya.

Akhir rasa hati: khusus buat encik suami, Mohd Fadhlil Rahman Mohd Ali. Cik isteri memohon ampun dan maaf terutamanya sejak kita diijabkabulkan pada 25 Mac yang lalu. Cik isteri mohon halalkan makan minum pakai dari encik suami. Di kesempatan ini juga cik isteri ucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas cinta, kasih, sayang, perhatian dan layanan kelas pertama sejak hari pertama kita bergelar suami isteri. Terima kasih atas setiap pengorbanan yang diberikan demi kebahagiaan dan senyuman cik isteri.

Akhir rasa hati: khusus buat mak bapak, Kamsiah Ass dan Awang Bakar Awang Hobri. Kak long minta ampun minta maaf dari hujung rambut ke hujung kaki. Halalkan makan minum pakai kak long sepanjang kak long di bawah tanggungjawab mak bapak. Terima kasih atas segala-galanya. Terima kasih atas setiap pengorbanan mak bapak yang tak mungkin kak long mampu untuk membalasnya. Setiap detik saat biarpun kita berjauhan, mak bapak tetap di hati.

SUBHANALLAH

ASTAGHFIRULLAH

"MENCUKUPILAH ALLAH BAGIKU"
"DAN SEBAIK-BAIK TEMPAT AKU BERSERAH DIRI KEPADA ALLAH"

Ya Allah
PadaMu aku memohon keampunan
PadaMu aku memohon pengharapan

Ya Allah 
Aku memohon ketabahan hati dalam urusan ini
Aku memohon ketetapan pada jalan yang benar
Aku memohon untuk dapat mensyukuri nikmatMu
Aku memohon untuk dapat beribadah dengan baik
Aku memohon lidah yang benar dan hati yang baik
Aku memohon kebaikan yang Engkau ketahui
Aku memohon perlindungan dari keburukan yang Engkau ketahui
Aku memohon keampunan dari dosa yang Engkau ketahui
Engkau Maha Mengetahui yang ghaib

Rasa hati: Semoga diberi kesempatan untuk terus bersama dengan insan-insan yang dicintai untuk satu tempoh lagi. Ada banyak impian serta harapan yang belum lagi terlaksana dan berjuta kata yang masih belum terungkap. Amin. 

No comments

Blog design by Rainy Day