Pages

Dec 3, 2011

Hamil : Detik Indah Untuk DiKenang =)

Hai.

Hari demi hari yang dilalui sebagai seorang ibu hamil benar-benar menguji kekuatan dan kesabaran. Sesungguhnya, sepanjang tempoh ini mengingatkan kita tentang pengorbanan emak yang telah mengandungkan kita selama 9 bulan 10 hari. Selama ini saya cuma membayangkan bagaimana saya menumpang teduh di dalam perut emak secara teori. Kini apabila telah melalui hari demi hari bersama si kecil, saya berada dalam dunia yang nyata bahawasanya pengorbanan seorang emak itu tidak akan mampu kita balas sehingga ke akhir hayat. 

(bukanlah bermakna selama ini tidak sedar, tetapi praktikal dan teori itu sangat berbeza bukan? pada satu ketika apabila kita menempuhinya, kita akan lebih sedar dan jelas akan sesuatu yang terjadi itu.)

Masih segar dalam ingatan bagaimana keadaan saya pada awal-awal kehamilan dahulu. Alhamdulillah. Syukur sebab saya tidak mengalami 'sakit pagi' seperti kebanyakan ibu-ibu hamil. Ada juga rasa loya-loya tapi rasanya tak sampai lima kali loya yang berpenghujung (muntah). Syukur. Syukur. Dan pada minggu-minggu awal itu saya kehilangan nafsu makan nasi. Paksa diri untuk makan nasi waktu tengahari untuk elakkan diri dari lemah dan makan roti pada waktu malam. Ayahnya pula terpaksa sediakan makan malam sendiri setiap hari. Ibunya pening-pening lalat setiap kali tercium bau ayahnya goreng ikan. Dalam laci meja pejabat pula pasti akan ada 100 Plus (sangat tidak baik untuk diamalkan tapi untuk hilangkan sedikit rasa loya) dan buah-buahan. Bila petang, ibunya akan kesejukan tahap maksimum biarpun penghawa dingin telah ditutup. 

Satu malam, saya mengalami sakit seluruh badan dan juga kepala. Atas sebab rengekan tanpa sedar ketika tidur, encik suami mengejutkan saya untuk dibawa ke klinik (4.30am). Biarpun saya tidak suka ke klinik, tetapi saya rasa tak mampu untuk bertahan. Saya gigihkan juga diri berjumpa dengan doktor. Alhamdulillah. Makan ubat yang pahit itu sesungguhnya tidak mengecewakan. Ada pada satu ketika saya mengalami sakit belakang yang teramat sangat. Seakan-akan ada gumpalan angin pada rusuk kiri. Serba-serbi tidak kena, mahu beralih ke kiri atau ke kanan. Encik suami yang menjadi mangsa untuk mengurut sebelum tidur. Biarpun tak susut rasa sakitnya, tapi memadai. Sekurang-kurangnya ada sedikit lega.

Minggu berganti minggu. Ibadah puasa juga telah sempurna terlaksana tanpa ada banyak rintangan. Sekadar cuma tenaga tidak mampu begitu bertahan apabila menghampiri waktu berbuka. Pernah beberapa kali kehilangan daya upaya untuk melangkah bila di baazar Ramadhan. Sedaya upaya ayahnya memimpin erat takut rebah di tengah-tengah orang ramai. Syawal pertama disambut sebagai seorang isteri dan juga bakal ibu. Sesetengah ibu hamil akan menjadi agak malas dek kerana pembawakan budak tapi saya ter-rajin sedikit menyediakan juadah hari raya dengan gigih. Alhamdulillah. Pembawakan budak berjaya membuang sedikit sikap malas berkampung di dapur.

Hari ini, usia kandungan saya sudah 33 minggu. Sebelum mencecah 32 minggu, saya diuji dengan sakit pinggang yang teramat sangat hinggakan saya hampir mengeluh dan merintih. Nasib baik saya segera ditegur oleh encik suami. Baring salah. Duduk salah. Berdiri juga rasa salah. Ada yang mencadangkan saya untuk meminta sakit itu beralih pada encik suami tapi, saya tak sanggup untuk berbuat sedemikian. Apatah lagi mengingatkan :“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). InsyaAllah. Dan Alhamdulillah, sakit pinggang hilang setelah hampir setiap malam encik suami menjadi tukang urut yang tidak bertauliah.

Jumaat lepas, saya mengalami kekejangan pada kaki. Pernah juga beberapa kali mengalaminya sebelum ini tapi dinihari tersebut saya tak mampu untuk berbuat apa-apa. Rasa sakit yang pada mulanya cuma sebelah kaki, kemudian kedua-dua belah kaki - akhirnya menimbulkan tekanan dalam diri. Berusaha untuk melegakannya sendiri tapi tidak berhasil. Encik suami bangun membantu menegakkan dan mengurut tapak kaki akhirnya mengundang tangis. Sakitnya, Ya Allah. Kalau saya dah menangis teresak-esak, maknanya sakit itu sudah di peringkat maksima (bagi saya). Pagi tersebut, saya akhirnya menjadi bahan usikan encik suami. Haish.


Ada banyak lagi dugaan ibu hamil. Lenguh-lenguh atau lemah-lemah badan itu diibaratkan sebagai ramuan hari-hari tetapi akan terubat bila kita merasai gerakan si kecil yang aktif. Terkadang kita akan rasa terkejut dek kerana pergerakannya yang berterusan. Kadang-kadang kita akan tersentak apabila kita merasakan tendangan yang kuat. Adakalanya juga kita akan tersenyum girang bila si kecil seakan-akan membuat pergerakan berirama. Sesungguhnya, si kecil itu penawar segala sakit. Sedangkan sakit-sakit kecil semasa mengandung boleh diubat dengan pergerakan si kecil. Apatah lagi bila melihat si kecil setelah berhempas pulas melahirkannya.


Setiap seorang itu diduga dengan ujian yang berbeza. Ketika usia kandungan saya 24 minggu, adik bongsu saya yang merupakan si adik lelaki tunggal telah kembali ke sisi Maha Pencipta. Dari Nya kita datang, kepada Nya jua kita kembali. Ramai yang menasihati saya supaya bersabar dan kuat demi si kecil. Ada juga yang berkata, Allah ambil adik kembali tapi Allah juga telah menganugerahkan kami si kecil yang sudah aktif bergerak. Alhamdulillah. Kekuatan saya ketika itu adalah anugerah dari Allah, kekuatan dari mak, bapak, adik-adik serta seluruh keluarga, kasih dari encik suami serta sokongan rakan taulan.


Kesimpulannya, kasih sayang saya terhadap mak sejak azalinya - infiniti. Tapi kini apabila telah merasai perit payahnya untuk mengandung, kasih sayang yang berganda itu telah menjadi berlipat kali ganda dari sebelumnya. Subhanallah.

p/s: hari ini perut rasa tegang je. si kecil sangat-sangat aktif. saya yang rasa letih biarpun cuma sediakan breakfast dan packing barang si kecil. (^_^)

3 comments

cheq sue dieyha said...

kesakitan yg kte lalui merupakan satu pahala disisi Allah~semoga semuanya selamat yea.x sbr nk tgk si kecil lahir ke dunia!

D Yatie said...

ye cheq sue...sesungguhnya kesakitan ini yg dilalui byk hikmahnya. :) sy juga tidak sabar. tapi, takut jugak. hehehe.

HyRoSSa NeNy said...

suddenly.. ter "drop" tears =')

saya skrg tgh pregnant 26weeks.. saya sakit sgt bhgian rusuk kiri,,, sakit nya Allah SWT je yg tahu.. smlm mntak kakak saya tgkkan.. kate nye mcm lebam sikit... tapi bile tgk perot berombak2 dengan gerak2 anak kecil dlm belly... saya senyum melerettttt... smpai encik suami pon tegur... indahnya dunia hamil.. ^_^

Blog design by Rainy Day