Pages

Dec 29, 2011

Hidup : Air Asia's Staff Ruined Our Last Day

Assalammualaikum. Hai.

Hampir dua minggu bertapa di kampung halaman. Hari-hari menulis tetapi tidak di ‘publish’ dan tersimpan dalam ‘draft’. Seolah-olah ada sahaja yang tidak kena dan tidak menepati citarasa. Ecewah. Walhal, saya memang seorang yang sangat tidak produktif. Malas? Tak juga. Sebab hari-hari saya ada menaip, tapi tak tetap tersimpan dalam ‘draft’. Sibuk? Lagi tidak. Sebab saya ada ramai kecintaan yang akan menyediakan santapan pagi, tengahari dan malam. Itu belum lagi ekstra santapan selingan setiap hari. Apa yang saya buat? Tidur. Bangun. Makan. Santai. Facebook. Blogwalking. Reading. Reciting. Tak bersenam / berjalan? Tak. Tak. Saya mengaku saya sangat malas untuk itu. Haish! 

Walaupun dah basi tapi nak bingkiskan juga disini. Isk. Isk. Isk. Kisah kejadian 11 Disember 2011 yang telah dihancurkan oleh dua orang pekerja Air Asia yang tidak menyenangkan hati.

Seawal 7 pagi, saya dan encik suami sudah berada di Stesen Bas Medan Gopeng bersama ayah mertua. Kami setia menanti bas Plusliner yang dijadualkan bergerak pada pukul 7.30 pagi. Jujur, pagi itu saya tidak sabar-sabar mahu masuk ke dalam perut bas dan memulakan perjalanan. Bukan kerana tidak sabar untuk terbang balik ke Sarawak apatah lagi mahu meninggalkan encik suami, tetapi, saya mahu beradu. Sepanjang hampir 3 jam perjalanan dari Ipoh ke KL, saya cuma terbangun beberapa kali dan akhirnya dikejutkan encik suami dengan berkata, “sudah-sudah lah tidur tu”. Huhu.

Pada mulanya, saya merancang untuk berjalan-jalan di sekitar KL sebelum menuju ke LCCT. Encik suami tidak begitu setuju mengenangkan kesesakan yang mungkin akan dilalui walaupun naik LRT. Akhirnya, kami memilih untuk berehat di Food Court KL Sentral sambil mengisi perut dengan Nasi Ayam untuk encik suami dan Nasi Lemak untuk cik isteri. Hampir dua jam duduk menyemak di situ, kami keluar dan berhenti di tengah-tengah ‘jambatan’. Kebetulan adanya ujibakat Pilih Kasih yang diadili oleh Erra Fazira. Subhanallah, antara ciptaan Allah yang sangat cantik. Maka kami mengambil kesempatan untuk melihat beberapa peserta ujibakat. Huish. Tak tengok lama sebab boleh mengundang kepada umpatan. Haha. 

Setelah bersiar-siar sebentar di KL Sentral buang masa, kami ke LCCT bersama bas Air Asia. Haha. Kalau naik bas, tak tidur memang tak sah. Sampai sahaja di LCCT, saya menuju ke kiosk. Terlupa dengan nombor tempahan yang tidak dicatat. Cubaan beberapa kali online tak boleh. Web Air Asia menyakitkan hati. Baru masuk, suruh log in balik. Tipulah tak hangin walaupun salah sendiri tak simpan nombor tempahan. Haish! Kemudian, kami menuju ke Food Court LCCT untuk online, makan tengahari dan solat Zohor. Lebih kurang pukul 2 petang saya dan encik suami ke kiosk semula untuk check in. Penerbangan saya sebenarnya pukul 5 petang. 

Setelah border pass di print, kami ke kaunter drop luggage. Saya menyerahkan surat doctor. Pekerja perempuan itu pergi ke kaunter servis untuk bertanyakan perkara yang dia tak pasti. Kemudian, saya diarahkan untuk berjumpa dengan pekerja yang ditugaskan di kaunter tersebut. Tetap akan ingat namanya, Sam. Surat doctor saya dikeluarkan pada 29 November 2011 iaitu pada hari terakhir saya check up di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Kampung Simee. Pekerja tersebut (Samdol) tak terima dan tidak membenarkan saya masuk. Cuma yang menjadi masalah adalah tidak terang tertulis, ‘on 11 Dec, she’s 34 weeks pregnant mother’. Samdol nak saya pergi buat surat baru. Saya keluarkan buku merah jambu saya yang tertulis pada 29 November, saya 32 minggu. 

Samdol pandang sekilas buku pink saya dan berkata, “what is 32 cm? we don’t know what is written in there.” Kemudian saya dengan penuh amarah, “i am not asking you to see that 32 cm. it’s clearly show above ‘jangka masa/tinggi rahim’.” Samdol tetap tak nak bagi sampaikan saya dengan berani berkata, “i want to see your officer.” Samdol sememangnya tidak mahu lepaskan. Jam sudah hampir 3.00 petang, saya cuba mencari perikemanusiaan dalam diri Samdol. “we’re not driving. sempat ke saya nak sampai ke sini lagi sebelum masa masuk? nak ke KLIA (Pusrawi) bukan sekejap. tak boleh ke on behalf of Air Asia, I dah show you this statement (buku merah jambu), you fotostat, buat refer.” Samdol berkata, “tak boleh. statement tak sama.” Serius, saya rasa nak lempang si Samdol. Samdol kata, “kalau boleh sampai sini dalam 4.40 petang, boleh masuk. kalau tidak nanti bayar 100 untuk tunda penerbangan – standby. ada kosong, terus masuk. tak ada kosong tunggu lagi.”

Tahap kemarahan saya sudah mencanak-canak naik. Saya suruh encik suami ambil balik boarding pass dan saya mula bergerak ke belakang. Tapi encik suami masih disitu. Samdol tengah remark something yang ambil masa 10 minit. Tidak ke lagi mencanak naik api kemarahan? Saya dan encik suami bergegas pergi cari teksi, then teksi pula kena beli kupon dalam balai ketibaan. Tanya orang yang jaga kupon pun bagi info salah sampaikan kami dari timur ke barat. Istighfar sahaja buat penenang. Naik teksi, kami minta encik pemandu teksi untuk memandu laju dari biasa. Tanpa segan kami maklumkan masalah kami. Sampai sahaja di KLIA, saya seperti lupa diri yang saya dah mengandung berlari-lari cari Pusrawi. Haha. Sampai di Pusrawi, saya bersyukur yang tidak terhingga berjumpa dengan mereka-mereka yang baik hati.

Mungkin turut terkesan dengan wajah kami, nafas yang mencungap dan penerangan yang tak tentu hala, jururawat yang bertugas terus sahaja merujuk kepada doktor. Kebetulan ada seorang yang datang lebih awal dan tengah menunggu, tapi beliau memberi peluang pada saya. Doktor Pusrawi juga sangat baik hati dan memahami. Syukur Alhamdulillah. Surat berjaya dikeluarkan dalam masa 10 minit. Sebaik sahaja keluar dari bilik doktor dan selesai membayar, rupanya encik suami diluar telah ditawarkan untuk dihantar ke LCCT dengan ambulans. Rasa syukur yang tidak terhingga. Pakcik ambulans kata, “naik ambulans boleh speed. pegang kuat-kuat ye.” Berkali-kali saya mengucapkan terima kasih pada mereka semua. Alhamdulillah. Semuanya juga atas izin Allah.

Kami sampai LCCT lebih kurang 20 minit sebelum 4.40 petang. Kami berlari-lari lagi. Terus ke kaunter servis untuk berjumpa dengan Samdol. Tapi Samdol dah tiada dan diganti seorang pekerja berbaju hitam. Tanpa lengah saya memberikan surat doctor, boarding pass, IC dan memaklumkan tentang hal sebelumnya. Pekerja berbaju hitam tekan-tekan keyboard dan berkata, “Sam ni apa hal. belum apa-apa lagi dia dah buat orang ni uncheck-in. dah buang nama passenger.” Sudah tentu saya lagi marah bila mendengarkan hal itu. Pekerja berbaju hitam menghubungi pekerja lain dan memaklumkan hal saya. “Sam suruh passenger ni buat surat tapi dia dah siap-siap buat uncheck-in. siap delete nama. boleh ke bagi dia masuk?” Api kemarahan saya meluap-luap walapun saya dibenarkan masuk. 

Pekerja berbaju hitam tekan-tekan keyboard sambil membebel, “bodoh betul Sam ni memandai-mandai nak terus delete”. Saya terus menjawab, “dia memang bodoh. dia  memang sengaja buat macam tu. dia memang agak saya tak boleh nak sampai”. Ya, bunyi tidak beradabkan saya? Tapi, letaklah diri anda pada situasi saya. Saya sudah tidak mampu mengawal. Bila semuanya selesai, saya dan encik suami berlari-lari lagi menuju ke balai berlepas. Dan itulah sebenarnya puncak kebencian dan kemarahan saya terhadap Samdol. Saya tidak sempat untuk berkata apa-apa pada encik suami. Cuma salam, dan ciuman pada pipi dan dahi dari encik suami dalam tergesa-gesa. Dan saya terus melangkah tanpa menoleh. Ya Allah. Ketika menaip ini air mata saya tak mampu untuk dibendung. Bolehkah kamu bayangkan pada hari tersebut? Ketika boarding pass saya disemak, encik suami cuma menjerit, “apa-apa SMS!” Saya cuma mampu menoleh dan mengangguk.

Setelah melalui kaunter scan, saya menoleh ke belakang dan melambai-lambai ke encik suami. Sebelum saya tenggelam dari pandangannya, saya memberikan lambaian terakhir dan terus melangkah menuju ke Pintu 8. Tiada apa yang boleh saya lakukan selain terduduk di kerusi dan berSMS dengan encik suami bersama dengan air mata yang bergenang. Kami masih berada dalam bangunan yang sama tetapi kerinduan saya pada encik suami sudah hampir menyesakkan dada. Kekesalan dengan penghujung kebersamaan saya dan encik suami yang dalam tergesa-gesa. Saya beristighfar sebanyak mungkin. Tidak mahu mengalirkan air mata. Tidak mahu kesedihan menguasai diri. Tidak mahu juga api kemarahan tersemat dalam diri. Duduk. Memerhati sekeliling. Penerbangan ditangguhkan. Sesungguhnya hari itu saya betul-betul rasa diuji. 

Alhamdulillah. Saya selamat sampai di tanah air setelah hampir dua jam dalam perut kapal terbang Air Asia. Kerana Samdol, saya tidak menandatangani satu perjanjian wajib yang tertulis, apa-apa berlaku adalah atas tanggungan saya sendiri. Kecoh juga crew kabin dek kerana ibu mengandung yang hampir teraniaya ini. Hihi. Sebelum berlepas, si kecil seakan-akan tahu yang dia bakal berada nun tinggi di awan. Si kecil sangat ligat bergerak hingga membuatkan ibunya rasa cemas dan susah hati. Semasa usianya enam bulan dalam kandungan tempoh hari, si kecil turut ligat bergerak tetapi ada encik suami disisi. Kali ini, saya sendirian. Saya risau. Saya cuma pesan pada si kecil, “baby jangan takut-takut macam ayah ye. nanti baby akan selalu naik flight.” Saya bacakan beberapa Surah, serta selawat Nabi. Alhamdulillah. Si kecil tenang-tenang sahaja. Saya senyum senang hati.

Sepanjang perjalanan juga saya teruskan membaca ayat-ayat suci Al Quran. Saya serahkan segalanya pada Allah SWT. Tiada doa lain selain si kecil saya baik-baik dan sihat-sihat sahaja. Saya juga menenangkan diri dengan secawan milo panas dan cheesecake yang sangat sedap. Haha. Dalam resah, makan dan minum tidak boleh diabaikan. Lagi resah kalau teringin nak makan tapi tak dapat nak makan. Huhu.

Berkenaan dengan kisah Samdol, entahlah. Mungkin sebab saya terlalu emosi jadi saya tak nampak kesalahan sendiri (pasti ada yang kata saya salah). Tapi, atas perikemanusiaan Samdol boleh buat rujukan berdasarkan buku merah jambu sebab kenyataannya sama. Tarikh sahaja berbeza. Dan kalau Samdol merupakan seorang yang ‘betul’, Samdol tidak akan mudah untuk terus membuang nama saya dari senarai penumpang. Kini, apa yang saya harapkan ialah : saya tidak akan tengok muka dia lagi sebab saya akan tetap ingat muka dia. Tak akan lupa.

Dec 23, 2011

Hidup : Wahai Dia dan Dia

Hai.


Hujan.

Hati yang tidak keruan.

Resah gelisah dihimpit rasa bersalah.

Bersalah terhadap dia dan dia.

Seruan azan Maghrib berkumandang.

Sebaik-baik tempat mengadu hanyalah Dia.

Wahai dia dan dia.

Maafkan saya.

Salam Jumaat.

Dec 3, 2011

Hamil : Detik Indah Untuk DiKenang =)

Hai.

Hari demi hari yang dilalui sebagai seorang ibu hamil benar-benar menguji kekuatan dan kesabaran. Sesungguhnya, sepanjang tempoh ini mengingatkan kita tentang pengorbanan emak yang telah mengandungkan kita selama 9 bulan 10 hari. Selama ini saya cuma membayangkan bagaimana saya menumpang teduh di dalam perut emak secara teori. Kini apabila telah melalui hari demi hari bersama si kecil, saya berada dalam dunia yang nyata bahawasanya pengorbanan seorang emak itu tidak akan mampu kita balas sehingga ke akhir hayat. 

(bukanlah bermakna selama ini tidak sedar, tetapi praktikal dan teori itu sangat berbeza bukan? pada satu ketika apabila kita menempuhinya, kita akan lebih sedar dan jelas akan sesuatu yang terjadi itu.)

Masih segar dalam ingatan bagaimana keadaan saya pada awal-awal kehamilan dahulu. Alhamdulillah. Syukur sebab saya tidak mengalami 'sakit pagi' seperti kebanyakan ibu-ibu hamil. Ada juga rasa loya-loya tapi rasanya tak sampai lima kali loya yang berpenghujung (muntah). Syukur. Syukur. Dan pada minggu-minggu awal itu saya kehilangan nafsu makan nasi. Paksa diri untuk makan nasi waktu tengahari untuk elakkan diri dari lemah dan makan roti pada waktu malam. Ayahnya pula terpaksa sediakan makan malam sendiri setiap hari. Ibunya pening-pening lalat setiap kali tercium bau ayahnya goreng ikan. Dalam laci meja pejabat pula pasti akan ada 100 Plus (sangat tidak baik untuk diamalkan tapi untuk hilangkan sedikit rasa loya) dan buah-buahan. Bila petang, ibunya akan kesejukan tahap maksimum biarpun penghawa dingin telah ditutup. 

Satu malam, saya mengalami sakit seluruh badan dan juga kepala. Atas sebab rengekan tanpa sedar ketika tidur, encik suami mengejutkan saya untuk dibawa ke klinik (4.30am). Biarpun saya tidak suka ke klinik, tetapi saya rasa tak mampu untuk bertahan. Saya gigihkan juga diri berjumpa dengan doktor. Alhamdulillah. Makan ubat yang pahit itu sesungguhnya tidak mengecewakan. Ada pada satu ketika saya mengalami sakit belakang yang teramat sangat. Seakan-akan ada gumpalan angin pada rusuk kiri. Serba-serbi tidak kena, mahu beralih ke kiri atau ke kanan. Encik suami yang menjadi mangsa untuk mengurut sebelum tidur. Biarpun tak susut rasa sakitnya, tapi memadai. Sekurang-kurangnya ada sedikit lega.

Minggu berganti minggu. Ibadah puasa juga telah sempurna terlaksana tanpa ada banyak rintangan. Sekadar cuma tenaga tidak mampu begitu bertahan apabila menghampiri waktu berbuka. Pernah beberapa kali kehilangan daya upaya untuk melangkah bila di baazar Ramadhan. Sedaya upaya ayahnya memimpin erat takut rebah di tengah-tengah orang ramai. Syawal pertama disambut sebagai seorang isteri dan juga bakal ibu. Sesetengah ibu hamil akan menjadi agak malas dek kerana pembawakan budak tapi saya ter-rajin sedikit menyediakan juadah hari raya dengan gigih. Alhamdulillah. Pembawakan budak berjaya membuang sedikit sikap malas berkampung di dapur.

Hari ini, usia kandungan saya sudah 33 minggu. Sebelum mencecah 32 minggu, saya diuji dengan sakit pinggang yang teramat sangat hinggakan saya hampir mengeluh dan merintih. Nasib baik saya segera ditegur oleh encik suami. Baring salah. Duduk salah. Berdiri juga rasa salah. Ada yang mencadangkan saya untuk meminta sakit itu beralih pada encik suami tapi, saya tak sanggup untuk berbuat sedemikian. Apatah lagi mengingatkan :“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). InsyaAllah. Dan Alhamdulillah, sakit pinggang hilang setelah hampir setiap malam encik suami menjadi tukang urut yang tidak bertauliah.

Jumaat lepas, saya mengalami kekejangan pada kaki. Pernah juga beberapa kali mengalaminya sebelum ini tapi dinihari tersebut saya tak mampu untuk berbuat apa-apa. Rasa sakit yang pada mulanya cuma sebelah kaki, kemudian kedua-dua belah kaki - akhirnya menimbulkan tekanan dalam diri. Berusaha untuk melegakannya sendiri tapi tidak berhasil. Encik suami bangun membantu menegakkan dan mengurut tapak kaki akhirnya mengundang tangis. Sakitnya, Ya Allah. Kalau saya dah menangis teresak-esak, maknanya sakit itu sudah di peringkat maksima (bagi saya). Pagi tersebut, saya akhirnya menjadi bahan usikan encik suami. Haish.


Ada banyak lagi dugaan ibu hamil. Lenguh-lenguh atau lemah-lemah badan itu diibaratkan sebagai ramuan hari-hari tetapi akan terubat bila kita merasai gerakan si kecil yang aktif. Terkadang kita akan rasa terkejut dek kerana pergerakannya yang berterusan. Kadang-kadang kita akan tersentak apabila kita merasakan tendangan yang kuat. Adakalanya juga kita akan tersenyum girang bila si kecil seakan-akan membuat pergerakan berirama. Sesungguhnya, si kecil itu penawar segala sakit. Sedangkan sakit-sakit kecil semasa mengandung boleh diubat dengan pergerakan si kecil. Apatah lagi bila melihat si kecil setelah berhempas pulas melahirkannya.


Setiap seorang itu diduga dengan ujian yang berbeza. Ketika usia kandungan saya 24 minggu, adik bongsu saya yang merupakan si adik lelaki tunggal telah kembali ke sisi Maha Pencipta. Dari Nya kita datang, kepada Nya jua kita kembali. Ramai yang menasihati saya supaya bersabar dan kuat demi si kecil. Ada juga yang berkata, Allah ambil adik kembali tapi Allah juga telah menganugerahkan kami si kecil yang sudah aktif bergerak. Alhamdulillah. Kekuatan saya ketika itu adalah anugerah dari Allah, kekuatan dari mak, bapak, adik-adik serta seluruh keluarga, kasih dari encik suami serta sokongan rakan taulan.


Kesimpulannya, kasih sayang saya terhadap mak sejak azalinya - infiniti. Tapi kini apabila telah merasai perit payahnya untuk mengandung, kasih sayang yang berganda itu telah menjadi berlipat kali ganda dari sebelumnya. Subhanallah.

p/s: hari ini perut rasa tegang je. si kecil sangat-sangat aktif. saya yang rasa letih biarpun cuma sediakan breakfast dan packing barang si kecil. (^_^)

Dec 1, 2011

Hidup : Sakit-Sakit Dahulu

 
Hai.
Thursday. 1st Dec 2011. Ini bermaksud, cuma tinggal lebih kurang 10 hari mahu terbang ke Sarawak. Dan dalam tempoh 10 hari ini juga saat-saat genting bagi kami. Kenapa? Huhu. Kepulangan saya kali ini memakan masa yang agak lama. Berbulan-bulan. Bukan berhari-hari. Kalau disebut hari, boleh memberikan tekanan kepada kami kerana bakal melibatkan angka. Bukankah 3 (bulan) lebih kecil dari 90 (hari)? Hehe. Tapi, genting kenapa? Hehe. Dalam 10 hari ini pasti jiwa kacau plus sensitif plus kurang stabil. Saya sentiasa berpesan pada diri sendiri, "please yatie. you must fill these days with many good things with him".

 Selasa lepas, saya dan encik suami ke Kedah. Oh! Bukan berhoneymoon macam orang lain. Tidak berkesempatan untuk itu. Saya dipanggil untuk menghadiri ujian SPA bagi jawatan Perangkawan. Empat jam berada di lebuhraya sangat menguji kesabaran. Encik suami tidak pernah jemu menjerit / memekik / melolong perkataan 'PERUT' setiap kali bertembung dengan permukaan lebuhraya yang tidak rata. Perut! Perut! Perut! Walaupun saya kurang pasti apa yang patut saya lakukan, tapi saya cuba untuk mengelakkan gegaran melampau. Encik suami kata, 'sila apungkan diri'. Isk. Isk. Isk. Kesian dekat baby. Kesian dekat pinggang mummy. Hoi! Sakit pinggang. Sakit belakang. 

Kami menginap di Bustani Hotel, Jitra. Recommended bagi sesiapa yang nak bercuti di Kedah. Apa yang penting? Lokasinya yang memang sangat dekat dengan Dewan Utama, Pejabat Daerah Kubang Pasu yang merupakan pusat ujian SPA saya. Jauh kan? Saya minta pusat kat Kedah ke? No. No. No. Saya tak buat kerja merepek sebegitu. Haha. Apa yang saya perhati, budak-budak area utara memang berpusat di Jitra. So, walaupun geram sebab jauh bebeno pusat ujiannya tetapi saya dan juga candidates yang lain tetap pergi bersama harapan yang tinggi. Orang kata, usaha. Siapa tahu rezeki baby. Kan? Doakan saya lulus ye kawan-kawan. Hehe. *keyakinan saya untuk lulus cuma 20%. boleh? haha.*

Nak saya share sedikit tentang ujian tersebut? Nantikan next entri ok. Hehe. Ujian habis pada pukul 3.20pm. Saya dan encik suami direct balik ke Ipoh. Cuma singgah sebentar di R&R Gurun untuk makan tengahari. Sampai di Ipoh, lebih kurang pukul 6.30. Encik suami kena jeling-jeling emaknya sebab dia agak encik suami bawak kereta laju-laju. Ikutkan hati nak juga singgah-singgah Alor Setar tapi bila ingatkan nak kerja hari ini dan tak tahu nak cari apa di bandaraya AS, maka kami terus balik. Itupun saya sangat liat nak bangun pagi tadi ok. Tersasar. Tak sempat encik suami nak breakfast. Hihi. Sempat-sempat ironkan si baju batik je. Even saya sendiri tak sempat nak breakfast. Huhu.

Biarpun masa singkat, tapi saya bersyukur sebab dapat jumpa kawan rapat satu course dengan saya dulu serta keluarga dan baby Amsyar yang tembam bam bam. Nor Arnida Morad. Thanks a lot dear! Seperti yang dijangka, perut pasti penuh bila ke rumah awak. Thanks for the laksa and mee bandung. Actually teruja tengok mee bandung yang macam yummy sangat tapi.....saya tak makan mee. Haish! Rugi. Rugi. Hihihi. Then, Amsyar. Auntie hampa sebab tak dapat nak ambil gambar dengan Amsyar. Yelah, sampai pun dah malam. Isk. Isk. Isk. Panjang umur, kita jumpa lagi bulan tiga tahun depan. Geram dengan pipi Amsyar. Hehe. Buat mak Amsyar, maaf ye dengan hadiah seringkas itu. *kami tersedar kami terlupa adab jumpa baby baru. haha. ampun!*

Ok. Salam Muharram buat semua. Muharram pertama disambut bersama encik suami. Kami suami isteri mengaminkan doa penutup dan pembuka oleh Imam Besar Kuala Lumpur. Hik3. Depan TV je. =)

p/s : Sama-samalah kita buat yang terbaik untuk diri kita. Istiqamah. Baik itu datangnya dari Allah, dan buruk itu adalah dari kekhilafan kita sendiri.

Blog design by Rainy Day