Pages

Oct 24, 2011

Hidup : Dik, Kak Long Datang...

.sesungguhnya setiap yang hidup pasti akan mati.

Genap 24 hari adik bongsu yang merupakan satu-satunya putera hati kami, Awang Firdaus kembali ke sisi Allah SWT. 1 Oktober; Allah mengambilnya kembali untuk berada dekat di sisi-Nya setelah 8 tahun 9 bulan dipinjamkan kepada kami sekeluarga. Tak ada satu orang pun menyedari akan kehadiran Isroil yang bertugas mencabut nyawa adik. Ya, tak akan ada sesiapa menyedari. 

Hari itu saya dapat panggilan dari mak usu. Saya pelik kenapa mak call encik suami (handphone saya dalam bilik). Masih segar dalam ingatan encik suami tidur ayam dan saya asyik menonton sambil makan mangga muda. Saya jawab panggilan dan yang kedengaran bukan suara mak tapi makcik.

Mak Usu : T, ada benda nak bagitau.
Saya : Apa dia?
Mak Usu : Ada benda usu nak bagitau dengan kamu.
Saya : Ha, apa dia. (masih selamba).
Mak Usu : Adik kamu.
Saya : Kenapa dengan adik? (terdiam).
Mak Usu : Adik kamu dah tak ada.
Saya : (terdiam). (berdebar). Adik yang mana satu?
Mak Usu : Firdaus.
Saya : (terdiam). (cuba mengawal emosi). Kenapa?
Mak Usu : Firdaus kena sawan.
Saya : (menangis). Tipu!
Mak Usu : (sebak). Betul. Kami kat klinik. Nak cakap dengan mak?
Saya : (menangis). Nak.

Saya : (menangis). Mak. Betul ke.
Mak : (sebak). Betul.
Saya : (menangis). Camner leh jadi macam tu?
Mak : (sebak). Adik kena sawan. Kat klinik ni.
Saya : (menangis). Mak, nak balik.
Mak : (sebak). Balik pun bukan sempat. Macam kita selalu cakap kat orang, sabar.
Saya : (menangis). Mak, nak balik.

Mak Usu : T, mak tak dapat nak cakap lagi.
Saya : (menangis). Ye lah. Assalammualaikum.

Saya masih ingat, saya seperti tidak sedar saya ada di mana dan bersama siapa. Encik suami yang tidur ayam terjaga bila saya mula menangis dan cuba menenangkan saya. Sambil mendakap dan mengusap ubun-ubun, encik suami bertanya kenapa. Sambil menangis bersama dengan suara yang tersekat-sekat saya memaklumkan apa yang telah saya dengar. Saya cuma menangis dan dalam fikiran saya cuma mahu balik serta membayangkan wajah adik. Saya teringat akan dua pasang baju yang telah saya beli tapi tidak sempat lagi untuk dikirimkan kepadanya. Semuanya membuatkan air mata saya mengalir dengan lebih laju.

Encik suami beralih dari sisi saya dan buka PC. Encik suami tengok tiket penerbangan. Saya masih tidak mampu untuk mengawal tangisan saya.

Encik Suami : Nak balik ke?
Cik Isteri : Kalau saya diberi peluang balik, saya nak balik.
Encik Suami : (sibuk tengok tiket).
Cik Isteri : (sedikit sebanyak berjaya mengawal emosi. sms kawan-kawan untuk memaklumkan).
Encik Suami : Awak tengok tiket. Saya pergi rumah mak sekejap. Kemas barang-barang.
Cik Isteri : Ye.

Saya check tiket sambil mengemas barang-barang keperluan. Ikutkan hati mahu sahaja sehelai sepinggang. Kami tak beli tiket secara online khuatir tidak sempat sampai. Kami buat keputusan untuk membelinya di kaunter LCCT. Saya check jadual perkhidmatan bas ke LCCT. Encik suami balik, kami terus bergegas keluar dari rumah menuju ke rumah mentua. Bas kami bergerak pukul 1.30pm. Saya maklumkan kepada mak saudara sebab saya tahu mak saya tak akan bersama dengan telefonnya waktu itu. Mak saudara tanya samada saya mahu mereka tunggu (melambatkan waktu pengebumian) atau sebaliknya. 

Ikutkan hati, saya mahu. Saya mahu lihat wajah adik buat kali terakhir. Saya mahu cium adik buat kali terakhir. Saya mahu dakap adik buat kali terakhir. Tapi, adakah itu yang adik mahu? Saya tak rasa itu yang adik mahu. Saya kurang mampu mengawal air mata saya. Saya biarkan air mata saya mengalir selama mana termampu. Sepanjang perjalanan saya bacakan Yassin dari kejauhan pada adik bersama dengan linangan air mata. Saya balas SMS mak saudara, 'tak apa. jangan tunggu. orang tak nak seksa adik. cukuplah.' Saya cuba menjadi seorang yang tabah dan kuat. Saya cuba menjadi seorang kak long terbaik untuk adik dengan memberikan yang terbaik. Saya juga yakin itu yang adik mahu.

Perjalanan kami lancar, cuma pemandu sangat berhemah dan menepati masa. Kebiasaan kami boleh sampai lebih awal dari biasa sekurang-kurangnya satu jam sebelum yang mereka jangka. Tapi, hari itu kami sampai di kaunter tepat pukul 6. Hajat hati untuk naik penerbangan 6.40pm tidak kesampaian. Terlewat. Saya redha. Apatah lagi mak saudara SMS memberitahu selepas Asar semuanya selesai. Adik pergi dengan tenang. Wajah adik tenang, senyum dan seperti bayi kecil kami yang sedang tidur. Penerbangan terawal pada pukul 8 malam. Kami beli tiket, kemudian bergegas ke surau untuk solat dan pergi makan untuk mengalas perut. Saya tak peduli mata-mata yang memandang wajah saya yang sembap dengan mata yang bengkak. 

Alhamdulillah, kami selamat sampai di rumah sebelum pukul 12. Wajah-wajah kesayangan yang penuh tenang menanti saya dengan senyuman. Ya, tiada tangisan. Tiada air mata. Di dapur, masing-masing bercerita tentang hari itu. Bercerita tanpa sebak, tanpa air mata, tanpa kekesalan. Adik saya yang ketiga menghulurkan telefon. Terpampang wajah adik sehari sebelum dia pergi. Seperti orang bodoh saya bertanya, "kenapa satu je". Adik saya menjeling, "manalah aku nak tau". Kami ketawa. Mak dan bapak redha. Mak bapa kata dah tiba masa adik nak pergi. Kena sawan dan tak ada seorang pun di klinik ketika adik dibawa ke hospital, itu semua cuma nak dijadikan penyebab. Kalau mak dan bapak redha, apatah lagi kami kakak-kakaknya. Kami redha.

Sehari selepas pemergian adik, hari yang ketiga. Saya dan encik suami pergi ziarah kubur adik. Cadangan untuk pergi pada hari kedua dilarang keras oleh bapa sebab tidak elok untuk saya pergi pada waktu petang. Saya datang dan berbisik, "dik, kak long datang." Saya hampir menangis. Saya cuba bertahan. Saya bacakan Yassin untuk adik. Saya sedekahkan juga ayat-ayat suci buat kedua-dua arwah atuk saya yang bersebelahan dengan kubur adik. Tapi, masa saya nak balik. Saya pandang kubur adik. Saya pergi ke kubur adik. Saya duduk. Saya pegang nisan adik. Saya tak mampu untuk bisikkan, "dik, kak long nak balik". Ya, saya tak mampu. 

Dan buat pertama kalinya saya menangis ketika berada di kampung. Saya tak mampu untuk membendung perasaan hiba, sedih dan kehilangan. Saya usap nisan adik. Saya cuma dapat kata dalam hati, "dik, kak long tau daus lebih tenang disana. tapi, kak long tak sampai hati nak tinggal daus. kak long tak sanggup nak cakap kak long nak balik. kak long rasa macam masih tak percaya daus kat sana". Saya kesat air mata yang mengalir deras, saya beristighfar, saya bacakan ayat-ayat suci, saya tarik nafas sedalam-dalamnya, saya beralih dan pergi tanpa menoleh kembali.

Di rumah, saya seperti biasa. Meladeni karenah sepupu-sepupu yang nakal dan membantu apa yang patut di dapur. Encik suami turut membantu kerja-kerja dapur. Saya tidak berlama-lama di bilik adik kerana segala kenangan terpahat di situ. Saya tidak mahu menangis. Bukan saya tidak rindu. Tapi, saya rasa cukuplah saya menangis. Saya juga tak langsung baring seperti selalu diatas tilam adik sebab saya tahu bau adik sangat kuat pada tilam dan bantalnya. Saya tahu kalau saya cium bau itu, saya akan menangis. Saya seperti sombong tidak mahu mendekati biliknya. Tapi saya tahu, adik tahu kenapa saya begitu.

Perginya adik bermakna : perginya putera hati kami, perginya bayi kami, perginya si tunggal kami, perginya si bongsu kami. Tiada lagi rutin bangun tidur, kak long akan pergi ke bilik adik, kak long baring, kak long peluk adik, dan tidur bersama. Tiada lagi alasan untuk menjaga adik sekiranya tak mahu pergi kenduri atau kedai atau memasak di dapur. Tiada lagi bermalas-malasan atas tilam bersama-sama adik di ruang tamu. Tiada lagi panggilan atau timangan daus atau tunggal atau bujang. Tiada. Yang tinggal cuma kenangan bersamanya yang terpahat dalam kotak ingatan, kasih sayang yang tidak berpenghujung dan potret untuk ditatap.

Dulu, saya selalu ucapkan sabar kepada mereka-mereka yang telah kehilangan orang terdekat dalam hidup. Dan pemergian adik buat saya rasakan perkataan itu tidak langsung menyedapkan hati atau melegakan rasa. Terkadang, saya seperti mahu marah. Tapi, perkataan itu datangnya dari teman-teman yang tersayang. Ketika kita susah, kita tahu siapa yang ada bersama kita. Wahai teman-teman, saya tak marah anda semua kerana mengutarakan perkataan sabar. Tapi saya marah kenapa wujudnya perkataan sabar ketika itu. (boleh ke?)

p/s: Al Fatihah buat adik, Awang Firdaus Awang Bakar. Semoga adik bahagia dan tenang disana. 





p/s: Terima kasih Ya Allah kerana meminjamkan dia buat kami untuk satu tempoh yang lama biarpun doktor cuma menjangkakan adik bersama kami cuma satu atau dua tahun sahaja.

2 comments

cheq sue dieyha said...

al-fatihah bt adik firdaus.
btl,kita sentiasa menyuruh org sabar tp ble kte ditimpa musibah kte x mmpu utk bersabar dan bertenang..

hamzah ian said...

harap sabar hadipinya ya.

Blog design by Rainy Day