February 28, 2011

Rumah Berteduh

Assalammualaikum. Hai. Hari ini saya agak bersemangat sedikit untuk masuk office sebab saya diberi satu tugas baru dan ini bermakna saya belajar satu benda baru. Saya diberi peluang untuk buat Audit Jumaat lepas. Rasa teruja gila sebab saya tak akan rasa bosan gila kerja menaip sahaja. Mengantuk. Dan pagi tadi, saya masuk lewat 2 jam yang harus diganti semula sebab saya ada Ujian Bertulis di Majlis Perbandaran Batu Gajah, Perak bagi jawatan Penolong Pegawai Tadbir (N27). Satu kekosongan yang direbut oleh hampir 100 orang pencari kerja. Harapan? Susah mahu cerita.

Allah Maha Mendengar. Dia mendengar doa-doa hambaNya. Cuma, kita hamba-hambaNya yang seringkali leka dan alpa. Dan Allah telah memperkenankan doa kami untuk segera mendapatkan rumah untuk berteduh setelah kami berumahtangga. Syukur Alhamdulillah. Kami cuma menunggu April tiba untuk hidup berdua dirumah sendiri. Kisahnya semalam, kami tengok iklan dan terus menelefon tuan rumah. Kemudian, kami segera ke kawasan perumahan tersebut untuk melihat sendiri lokasi sebenar supaya boleh membuat perancangan masa depan. Ecewah! Sebenarnya nak memastikan kawasan perumahan tersebut mudah atau tidak bagi saya untuk mendapatkan kenderaan awam. Sangat kasihan. Hehe.

Entah macam mana kami berdua sama-sama berkenan. Telefon tuan rumah dan tuan rumah cakap, "Cik Dayang, ni saya nak bagitau jugaklah. Kejap tadi ada seorang telefon. Ni bukan teknik marketing ke apa ah. Orang tu cakap nak bank in dalam minggu ni." Encik tunang pun agaknya memang dah berkenan, maka kami pun terus membayar apa yang patut. Sah. Minggu kedua bulan April kami akan pindah masuk. Syukur Alhamdulillah. Sebenarnya, takut juga pisang berbuah dua kali. Tak siapa yang suka bila harapan kita hancur berkecai. Kan? Dan saya juga semakin teruja untuk menunggu April. Teruja mahu hidup berdua, selain mahu bebas bersama suami tercinta saya juga terpengaruh dengan Puan Zulliana. Hihi.

Angan-angan buah berangan. Setiap fasa kehidupan, angan-angan akan teranyam. Oh, tahniah buat kawan saya Puan Edat yang telah dikurniakan zuriat berusia 2 bulan dalam kandungan. Tahniah. Semoga semuanya baik-baik saja ya. Masin mulut saya, kamu ke Sarawak bertiga. Berkat saya suka makan ikan masin. Lalala.

February 22, 2011

HIV Test

Assalammualaikum. Hai. Ujian yang sangat saya takuti dulu, Ujian HIV. Takut disebabkan oleh cerita-cerita dongeng dari mereka yang sudah berujian. Ditambah pula dengan encik tunang yang membuat cerita kaw-kaw buat saya percaya. Percaya sangat sebab dia takut jarum macam saya juga. Percaya sebab dia boleh buat muka serius macam Rosyam Nor. Lagi percaya sebab saya sangatlah ketakutan dan fobia bila dengar perkataan jarum. Tambahan pula saya pergi menjejakkan kaki ke ke hospital atau klinik, sekali dalam setahun pun saya tak pasti. Kecuali menemani mak bawa adik bongsu jumpa pakar. Pandang sebelah mata pada paparan pelik-pelik yang mucul depan mata sementara menunggu. Jantung bergetar dengan hebat bila melihat sesuatu yang tidak ingin dilihat.

Saya nasihatkan kawan-kawan supaya mengawalkan Ujian HIV supaya tidak kelam kabut dikemudian hari. Kenapa? Ok, borang kebenaran kahwin kita kena sertakan sekali dengan keputusan ujian HIV. Pesanan ini untuk semua tetapi lebih ditekankan buat mereka yang nak kahwin dengan orang jauh (tak sama negeri) dan perantau (macam saya). Satu lagi, bakal pengantin perempuan kena pastikan bakal pengantin lelaki segera uruskan borang dia supaya mudah bagi kita. Bakal pengantin perempuan kena hantar borang sendiri sekali dengan borang bakal pengantin lelaki yang telah disahkan. Jadi, keputusan Ujian HIV ada dalam tangan, tak jadi masalah untuk teruskan mengisi borang. Kalau Ujian HIV tiba-tiba positif, tak perlu nak pergi isi borang dah. Er, minta dijauhkanlah perkara sebegitu dari kita semua. 

Kami dah buat Ujian HIV bulan Dec lepas. Encik tunang buat dulu, kemudian dia bawa saya pergi. Saya sangat takut bila dia cerita suntik pada lengan untuk ambil sejumlah darah. Allah sahaja tahu bagaimana rasanya jantung saya berdegup kencang. Tapi harus diingat, kamu semua kena banyak bersabar menunggu giliran. Biasalah. Hehe. Ketika Ujian dijalankan,
Tukang Ujian HIV : Kahwin bila?
Saya : Bulan 3.
Tukang Ujian HIV : OOO, lambat lagi.
Saya : Hehe.
Tukang Ujian HIV : Nasib baik, Ujian ni sah 6 bulan je. 
Saya : Ha? Kalau lebih?
Tukang Ujian HIV : Kena ambil semula. 
Saya : OOO.
Nampak sangat saya tak tahu. Nasib baik Tukang Ujian HIV beritahu. Selepas buat Ujian HIV dan keputusan dalam tangan, saya keluar dan terus sengih-sengih kat encik tunang. Encik tunang perli-perli tanya sakit tak. Hampagas betul. Ujian HIV ambil darah sama macam kita periksa darah masa demam untuk pastikan tak ada malaria. Buat penat jantung berdegup aktif. Tapi, agak cuak juga bila tunggu keputusan Ujian HIV. Teringat kisah-kisah pemindahan darah dan penggunaan jarum suntikan. Adeh! Syukur Alhamdulillah. Kami lulus untuk berkahwin. Lepas buat Ujian HIV, rasa bertambah lega. Siap sudah. Sekarang tinggal lagi nak isi borang kahwin. Oklah, orang takut jarum mahu tidur.

p/s : puan zue baru bali dari pre-honeymoon petang tadi. seronok sebab puan zue ingat saya walaupun baru balik berjimba bersama suami tercinta. terima kasih zue.

February 21, 2011

Pakej Perkahwinan

Assalammualaikum. Hai. Sejak saya memilih untuk mendirikan masjid, saya rasakan seolah-olah saya dikelilingi dengan orang-orang yang bakal berkahwin juga. Anggapan orang yang perasan : ramainya nak ikut jejak langkah saya. Hehe. Realitinya selain dari ramai kawan-kawan yang juga sudah merancang untuk mendirikan masjid, saya juga sibuk menggodek2 blog bakal-bakal pengantin. Tujuannya adalah untuk mengambil sedikit tips, inspirasi dan gambaran majlis. Tapi, majlis saya memang jauh berbeza dari mereka. Walaubagaimanapun, setiap langkah dan persediaan tetap serupa tidak kira kecil atau besar majlis tersebut.

Setelah mencapai kata sepakat dalam penetapan tarikh, pakej perkahwinan (pelamin, pakaian dan make-up) adalah yang pertama perlu kita survey dan tempah. Kebiasaannya tarikh yang kita pilih sama dengan tarikh bakal-bakal pengantin yang lain - cuti sekolah, cuti am dan mungkin juga ketika cuti raya. Tak lupa pada tarikh yang unik seperti 11.11.11. Jadi, haruslah segera membuat tempahan untuk mengelakkan diri dari terlepas pakej yang sangat murah. Percayalah, sebaik sahaja kamu selesai membuat tempahan, kamu akan merasakan sudah terlepas satu beban yang sangat berat kamu perlu pikul sebelum tibanya tarikh. Alhamdulillah, kami sudah selesai membuat tempahan tersebut sejak bulan November lagi. 

Atas nasihat dan pertolongan kawan baik saya yang berada nun dikampung, kami memilih ustaz serta isterinya yang bekerja sebagai guru disekolah menengah kampung saya. Mereka berasal dari Kedah dan November lepas kami berjumpa di Taiping untuk berbincang berkenaan dengan warna tema, pakaian, dan bentuk pelamin termasuk juga hiasan hantaran. Alhamdulillah, selesai ketika itu juga. Ustaz menyediakan 3 pakaian (akad nikah saya, bersanding untuk berdua), pelamin, bilik dan juga hantaran termasuk make-up. Pakej: RM1,600. Ramai yang cakap sangat murah. Alhamdulillah. Saya bersyukur sangat. Semoga apa yang dirancang berjalan dengan lancar.

Sesiapa yang merancang untuk berkahwin dalam 5 bulan yang akan datang, segeralah membuat kaji selidik berkenaan dengan pakej-pakej perkahwinan. Ingat, pastikan kamu semua bersederhana. Ikut kemampuan. Jangan berlebih-lebihan. Kehidupan kita masih panjang. :)

February 20, 2011

Seakan Tidak Percaya

Assalammualaikum. Hai. Beberapa hari ni, agak sibuk sedikit mengumpul alamat kawan-kawan untuk dikirimkan Kad Jemputan yang very-very limited dari saya. Lebih teruk bila saya bertanya terlebih dahulu sebelum mengepos kad. Haha.

Bila Kad Jemputan bertulis nama sendiri serta pasangan sudah berada dalam simpanan, saya rasakan seolah-olah semuanya seperti mimpi. Agak kurang percaya bahawasanya saya sedang memegang Kad Jemputan sendiri untuk diagihkan kepada kawan-kawan. Dan dalam sedikit masa sahaja lagi saya akan mengumumkan secara terang-terangan di Muka Buku, menjemput rakan taulan. Walaupun saya sudah 25 tahun, tapi saya masih malu-malu untuk mengumumkan majlis yang bakal berlangsung. Entah, mungkin sebab saya antara yang terawal kahwin dikalangan kawan-kawan rapat saya.

Saya ada 3 kawan karib sejak kecil di kampung dan saya merupakan orang pertama yang akan berkahwin diantara kami. Begitu juga dengan roommate saya di UUM termasuk kawan2 rapat saya dalam satu bidang. Secara tidak langsung, perkahwinan saya ini mendatangkan sedikit kecemburuan dari sesetengah kawan. Haha. Bukanlah cemburu negatif, tapi seru mereka belum sampai lagi. Mungkin lambat sedikit dari saya dan haruslah kamu semua menikmati zaman bujangan kamu yang singkat. Singkat sebab saya tau kamu semua akan mengikut jejak langkah saya tak lama lagi. Cuma saya yang merasmikannya. Haha.

Tak akan pernah luput dalam kotak memori saya bagaimana bermulanya perancangan kami untuk mendirikan masjid. Ogos 2010, encik tunang memberikan kejutan hebat dengan menelefon saya ketika tengah sibuk di office. "Awak, kita kahwin bulan 10. 3hb 10." Dan saya cuma mampu berkata, "Ha?" Atas sebab masa yang terlalu singkat dan kejutan yang tiba-tiba, permohonan tidak diluluskan oleh raja dan permaisuri hati saya. Dan ketika saya berehat di kerusi empuk Parkson Ipoh Parade sebulan selepas itu, mak memberi kelulusan untuk tarikh yang bakal menjadi hari bersejarah saya. Tarikh yang dipilih bagi akad nikah ialah bersempena dengan hari lahir mak dan majlis besar pula merupakan ulangtahun pertama kami mengikat hubungan dengan cincin tunang.

Sesetengah daripada kawan saya cakap saya beruntung sebab encik tunang dah bekerja lama dan saya juga dah kerja. Duit dah cukup. Kawan-kawan : Sekiranya kamu menunggu duit cukup, percayalah duit tak akan cukup. Semakin lama kamu bertangguh, semakin lama kamu mahu menyimpan dan semakin menaik harga barang-barang. Bersederhanalah, utamakan kewajipan. Ada rezeki lebih, turuti kehendak orang tua dan pastikan tidak membazir. Apa yang penting bagi saya adalah majlis nanti - pengurusan dan makanan. Sudah namanya majlis - kita meraikan dan bertujuan untuk mengkhabarkan. Mulut manusia kita tak mampu untuk menutupnya. Biarkan. Bila penat, mereka diam.

February 14, 2011

Tidak Semudah Yang Disangka

Assalammualaikum, selamat pagi. Sudah 1.37am, dan saya masih tidak mengantuk. Seisi rumah sudah lena dibuai mimpi. Esok kerja, sekali lagi Monday Blues. Yes, always! Buruk perangai. Serius, saya sentiasa berusaha untuk memasang niat bekerja kerana Allah tapi saya manusia biasa. Sering leka dan alpa. Semoga terus istiqamah agar saya sentiasa tenang, ceria dan berlapang dada setiap hari. InsyaAllah. Begitu juga buat teman-teman sekalian. Kerja itu satu ibadah. Semoga amalan dan ibadah kita diberkati dan diredhai oleh Allah SWT. Amin.

2011, usia saya sudah menjangkau suku abad dan tahun ini juga saya akan mendirikan rumahtangga bersama dengan insan yang saya cintai. Dulu bapa selalu berkata, "Cinta sahaja tak mencukupi. Kalau tak ada kerja, tak ada duit, nak bagi anak isteri makan apa? Pasir?" Sebagai seorang anak yang lurus, saya cuma tahu gelak dan mengangguk kononnya setuju. Emak dan bapa pernah bagitau, "Lepas 2 atau 3 tahun kerja, nak kahwin, kahwinlah." Maksudnya, mak bapak tak nak saya lepas habis belajar terus gatal nak kahwin. Bapa selalu usik, "Masak tak pandai, ada hati nak kahwin." Dan lebih menggelikan hati bila mak dan bapa bagi pembayang tak berapa jelas, mereka cakap, "Ish. Ni yang buat aku tak percaya Yatie nak kahwin." Haha.

Sesungguhnya kita merancang, Allah yang menentukan segalanya.Pada hari gilang-gemilang saya nanti, saya sudah bekerja lebih dari setahun selepas menamatkan pembelajaran di UUM dan juga genap setahun kami mengikat tali pertunangan. Saya masih simpan SMS dari encik tunang bertarikh 23 Januari 2009, "25 tahun nanti tak ada aral melintang kite kahwin." Alhamdulillah, diperkenankan oleh Allah doa kami dan direstui oleh mak bapa kedua-dua belah pihak. Dan kini kami sedang meniti hari-hari dengan rasa resah, debar dan terselit kegembiraan. Teman saya, Zulliana sudah selesai semuanya, cuma tinggal majlis bertandang. Dan mendengarkan kebahagiaan beliau sekarag membuatkan saya semakin teruja.*gedik*

Dulu, saya tak pernah berimaginasi tentang suasana hari bahagia saya. Serius. Pada pendengaran saya, sering terngiang-ngiang akan nasihat atau bebelan ustaz bahawasanya bersanding itu akan menimbulkan dosa. Kenapa? Kerana pada ketika itulah terjadinya umpat mengumpat, dengki mendengki, keji mengeji. Tetapi, tidak semua yang kita mahukan akan menjadi milik kita. Kasih emak membawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa - dipetik dari filem Cuti-Cuti Cinta. Jadi, haruslah diikuti. Lagipun, saya anak pertama dan sudah tentu inilah kenduri yang pertama dalam keluarga saya. Dan bila dinilai dan ditimbang kembali, buat atau tidak, kedua-duanya juga bakal mengundang kepada dot dot.

Dan atas kerana itulah saya tidak pernah berangan untuk bertemakan apa, warna apa, bagaimana. Tidak pernah. Bila ditanya, saya akan berterus-terang berkata tak tahu. Berbeza dengan tiga sahabat sekampung saya yang penuh dengan impian dan juga tiga bekas roommate kesayangan saya dulu. Maka, saya serahkan kesemuanya kepada emak dan bapak selain pemilihan warna dan pelamin. Lagipun, mak dan bapa cakap ini bukan kenduri saya tapi kenduri mereka. Sebabnya, saya balik cuma nak bersanding atas pelamin sahaja. Haha. Pasrah sajalah. Sudah susahkan mereka, tak perlulah nak meminta dan terlalu cerewet. InsyaAllah, 'air tangan' mak bapa adalah lebih baik berbanding saya.

Kenapa tak mudah? Sebaik sahaja kamu membuat keputusan dan seterusnya diizinkan, hadirlah segala macam rintangan, dugaan dan cabaran atau perkataan hebatnya - masalah. Dan pada ketika itulah saya mula pening-pening lalat, kahwin bukan setakat kamu mahu hidup bersama. Untuk berada pada fasa kedua selepas bertunang, kita harus melalui satu hari yang memerlukan modal yang sangat banyak. Bukan itu sahaja, persediaan untuk satu hari itu menuntut perhatian dan masa yang lebih dari semua. Adalah menjadi kewajipan pasangan pula untuk memikirkan hari-hari yang akan datang selepas 'satu hari' tersebut. Ya, kadang-kadang saya rasa sangat serabut. Pening. Risau. Gelisah.

Semua itu luaran. Dalaman? Semakin dekat tarikh semakin banyak perkara bermain dalam fikiran. Adakalanya, saya berperang dengan hati dan perasaan sendiri. Sekarang saya sangat faham kenapa orang cakap, "kamu kena bersedia dari segi fizikal, mental dan juga emosi." Ya, saya sedang mencuba untuk memastikan keseragaman semua ini. Walaupun, saya rasa sangat susah. Namun, saya bersyukur sebab mak bapa serta encik tunang sentiasa menyokong saya dari belakang biarpun adakalanya saya memberontak. Memberontak sebab adalah sukar untuk melentur buluh, takut patah pula. Haha. Saya yang manja, degil dan 'bengkeng'.

Apa pun, saya tidak pernah lupa untuk berdoa agar dipermudahkan segala urusan dan juga kesejahteraan keluarga. Memohon agar saya memiliki keluarga yang bahagia seperti keluarga saya. Mak dan bapa, kalian merupakan inspirasi saya. Buat encik tunang, saya harap kamu tidak akan pernah berputus asa untuk membimbing saya. Kamu semua tunjang belakang saya. Love, D Yatie.

February 13, 2011

Dyslexia

Assalammualaikum, selamat berhujung minggu. Seakan terasa cepatnya masa berlalu, hari ini Sabtu dan esok Ahad. Lusa pula Isnin, jawapannya kerja. Ya Allah, entah dimana semangat bekerja pergi menyembunyikan diri. Malas. Dan pada yang sama, agak bosan berada dirumah. Saat-saat begini membuatkan rasa rindu membuak-buak kepada mak, bapak dan adik-adik. Berharap agar wujudnya pintu sesuka hati Doraemon supaya boleh berada dirumah pada setiap hujung minggu. Alangkah seronok kiranya dapat bersama keluarga tercinta, bersantai menonton Bollygood Time on 2 dengan bebas tanpa ada rasa malu.

Sebenarnya, baru sahaja tamat menonton Taare Zameen Par bersama-sama bakal mentua. Kalau diikutkan hati, mahu saja duduk bertapa didalam bilik tapi tak elok pula rasanya. Nasib baik tertarik dengan movie tersebut, kalau tidak alamatnya mati kutu. Novel, tak habis baca lagi - Things I Want My Daugthers To Know by Elizabeth Noble. Entah bila boleh khatam novel tersebut, setiap kali mula membaca anasir jahat juga mula menggoda. Terkinja-kinja dikelopak mata membuatkan si pembaca terus terlena. Buku La Tahzan juga tidak habis dibaca lagi, pemalas. Sepatutnya sikap yang baik itu dikekalkan, tapi jelas yang baik itu jugalah semakin susut dan sikap pemalas lebih mendominasikan diri. 

Movie tadi sebenarnya berkait rapat dengan kehidupan saya iaitu adik saya yang disahkan mengalami Dyslexia (Developmental Reading Disorder). Dyslexia adalah berpunca daripada ketidakupayaan kanak-kanak untuk memproses simbol grafik dan mengakibatkan mereka tidak mampu untuk membaca.

Developmental reading disorder (DRD) is not caused by vision problems, but rather by problems with the brain's ability to recognize and process symbols. Children with DRD may have trouble rhyming and separating the sounds in spoken words. These abilities appear to be critical in the process of learning to read.

Ya, adik kedua saya memang ada masalah sebegini walaupun beliau kenal setiap satu huruf dan nombor. Cuma dia tidak berupaya untuk menjadikannya suku kata, apatah lagi ayat. Selain dari mengalami Dyslexia, semasa kecil beliau diserang demam panas yang hampir-hampir membuatkan beliau mengalami kekejangan. Syukur Alhamdulillah, sempat dibawa ke Klinik Desa dan fizikal beliau masih sempurna. Seperti yang kita sedia maklum, demam panas akan memberikan kesan terhadap otak. Namun begitu, adik saya tidaklah sampai pada tahap terencat akal. Subhanallah. 

Allah Maha Adil, Maha Bijaksana. Setiap seorang memiliki keupayaan, kelebihan serta kelemahan masing-masing. Dan itulah yang menjadikan adik saya sangat unik dan lebih istimewa. Allah telah meminjamkan beliau kepada kami untuk membantu kami terutamanya mak, bapak dan adik bongsu. Mungkin beliau seperti keanak-anakan walaupun pada usia 21 tahun sekarang, tetapi beliau sangat pandai dan tangkas ketika berada didapur. Beliau yang akan menyediakan makanan tengahari untuk mak, bapak, adik-adik yang baru balik kerja serta sekolah. Beliau yang memandikan dan menjaga adik bongsu ketika semua orang tiada dirumah.

Selagi mampu dan terdaya, saya tidak akan mengabaikan beliau walaupun saya merupakan seorang kakak yang jahat atau diberi gelaran sebagai singa. Mungkin tidak pernah atau jarang untuk saya pamerkan, tapi jauh disudut hati yang paling dalam saya amat menyayangi beliau. Sepenuh hati. Sesungguhnya beliau merupakan anugerah dari Allah yang paling istimewa. Kehadirannya menguji kekuatan, kesabaran dan keredhaan kami sebagai hambaNya. Semoga beliau sentiasa sihat sejahtera dan senyum selalu seperti kebiasaannya.

Lovely Kak Ngah, Dyg Norazila.
Entri ditulis sejak petang semalam, tamat hari ini.

Blog design by Rainy Day